Hubungan Orientalis Dan Kristianisasi


Kemelut berfikir di kalangan umat Islam ternyata masih belum berakhir. Akhbar dan media massa selalu sahaja mengejutkan umat dengan berbagai bentuk tulisan dan pola pemikiran yang sekular, meterialistik, pragmatik dan sebagainya yang membelakangkan nilai serta norma yang paling teras dalam masyarakat Melayu iaitu Islam. Persepsi Islam di kalangan segolongan cendikiawan bukan merupakan asas untuk menilai sesuatu; samada perkara atau gejala. Jika uniform anak-anak sekolah dibincangkan, maka yang menjadi asas penilaian adalah aspek ekonomi dan psikologinya sahaja. Kalau soal pembangunan yang dibincangkan maka yang dilihat adalah aspek teknologi dan pragmatiknya sahaja, tanpa melihat sudut agamanya.

Islam bagi sesetengah pihak bagaikan bayang yang tidak punya kenyataan. Ia bukan suatu perspektif yang patut disorot. Mengapakah pertimbangan Islam selalu dilupakan atau disingkirkan oleh elit muslim berkenaan. Sudah tentu persoalan ini perlu dicarikan jawabannya oleh mereka yang prihatin. Permasalahan inilah barangkali yang disebabkan oleh agen-agen imprealis dari segolongan orientalis, journalis, akademis, zionis, pendia'yah Kristian dan kuncu-kuncunya.Oleh itu wajarlah disorot peranan golongan di atas secara terpeinci agar dapat dicari jalan yang sesuai untuk mengatasinya.

Dalam kesempatan yang terhad ini fokus yang ingin diutarakan hanya menyorot peranan orientalis dan gerakan kristianisasi secara khusus merujuk kepada pengertian orientalisme, peranan orientalis, motivasi penyimpangan mereka, kesan gerakan orientalis dan kristianisasi terhadap umat Islam dan akhirnya langkah-langkah menghadapi gejala serta masalah yang dihasilkan oleh gerakan tersebut.

Definisi ORIENTALISME

Orientalisme atau dalam bahasa Arabnya disebut " Al Istisyraq" adalah ilmu tentang Timur atau hal Ehwal Ketimuran, lebih jauh ia adalah kegiatan atau pengkajian berhubung dengan ehwal Ketimuran, sejarah, keyakinan penduduk di sebelah Timur, susun lapis penduduk, lokasi, persekitaran tabi'enya, bahasa, gaya pertuturan, watak dan syahsiyyah mereka. Kajian ini menyelidiki aliran pemikiran tradisi dalam pelbagi bentuk, untuk pelbagai tujuan.

Dalam konteks yang berlainan ada pula pandangan yang mengatakan bahawa Orientalism sebagai sebuah disiplin ilmu yang mempunyai methodologi yang tersendiri. Ia dipengaruhi oleh faktor luaran yang berfungsi sebagai dasar atau tujuan kewujudan dan operasinya.

Gerakan Orientalism ini dipelopori pada mulanya oleh para Mubaligh Kristian dan Paderi untuk tujuan mendakyahkan agama Kristian .Tetapi akhirnya bergandingan dengan kehadiran Imperialisme barat ke Dunia Islam untuk mengukuhkan penjajahan mereka ke atas negara-negara jajahan tersebut.

Dr Hamdi Zaqzuq menegaskan: "Terdapat suatu kesefahaman mutlaq di kalangan mubaligh Kristian kurun ke 13 tentang betapa perlunya menguasai bahasa-bahasa orang Islam.Seandainya mahu dijayakan usaha pengkristianisasi ke atas mereka. Persefahaman yang telah diterjemahkan dalam bentuk agenda bertindak ,itu merupakan faktor penting dalam perkembangan Orientalisme ,pada masa itu tidaklah mudah untuk memisahkan Orientalisme dengan Kristianisasi atau motivasi keagamaan. Motivasi keagamaan inilah menjadi pencetus utama bagi lahirnya Orientalismei".

Kajian Ketimuran yang bercambah di Eropah di abad-abad pertengahan adalah didorong oleh pertentangan agama dan suasana perang Salib pada ketika itu.Pengaruh dan semangat untuk mengembangkan Kristian pada ketika itu jelas dalam nota rasmi pembentukan kursi pengajian Bahasa Arab di Universiti Cambrigde, England, yang bertarikh 9 Mei 1636 masihi oleh pengasasnya. Nota tersebut antara lain menyebutkan: "Kita sedar bahawa dengan usaha ini kita bukan sahaja bertujuan untuk mendekati kesusteraan yang baik untuk mendedahkan sebahagian besar ilmu pengetahuan yang ada kepada cahaya dan tidak membiarkannya terkatup dalam bahasa yang ingin kita pelajari sahaja akan tetapi kita juga sebenarnya bertujuan untuk mengajukan khidmat bakti kepada pemerintah dan negara memlalui perdagangan kita dengan negara-negara Timur, selain untuk mengagungkan tuhan melalui perluasan batasan gereja dari seruan kepada agama Kristian di kalangan orang-orang yang masih hidup dalam kegelapan".

Antara Orientalist yang begitu mementingkan ajaran Ketimuran ini untuk tujuan pengkristianan ialah Roger Bacon (1214 - 1294 m). Beliau menganggap hanya melalui gerakan pengkristianan ini sahaja Dunia Kristian dapat diperluaskan. Selaras dengan tujuan ini, maka harus dipenuhi syarat berikut:

1. Memahami bahasa-bahasa penting.

2. Mengkaji jenis-jenis kekufuran dan mengenalpasti perbezaan antara satu sama lain.

3. Mengkaji hujjah-hujjah lawan agar dapat ditumpaskan.

Menurut Al Jabiri : "Peranan yang paling serius yang dijalankan oleh Orientalis dalam memerangi Islam secara amalinya ialah dengan membina rentetan pusat pengajian dari tadika hingga ke peringkat Universiti yang mendidik generasi baru umat Islam dari pelbagai lapisan khasnya peringkat yang mempunyai kelayakan kepimpinan yang tinggi dan sederhana.Mereka juga mengeksploitasi profesion kedoktoran, juru rawat serta klinik-klinik dan hospital Missionari. Untuk tujuan tersebut mereka hidup bergaul denagan orang Islam dan Arab di negara jajahan tersebut. Mereka cuba meyakinkan kepada orang Islam akan kebaikan tamadun Eropah yang palsu itu. Mereka mengajak ke arah pergaulan bebas, pendedahan aurat, dekadensi moral atas dakwaan kebebasan diri atau personal, mereka mendakyahkan fahaman keliru seperti Sekularisme, Existensialism dan lain-lain. Orang yang menyahut seruan mereka akan dididik agar menafikan kerasulan Muhammad salallahualaihi wasalam".

Sejarah Orientalism menunjukkan bahawa ia mempunyai hubungan kait yang rapat dengan 'needs and goals' golongan Kolonialism dan juga rencana missionary Kristian. Ianya berlanjutan sehingga ke hari ini dan sekarang ini sedang menjadi sebahagian dari strategi 'geo-political' kebanyakan kerajaan Barat dan perkhidmatan perisikan mereka untuk mengkaji serta menyusun strategi bagi menghadapi Islam.

Meskipun ada golongan Orientalist yang berusaha untuk menonjolkan kajian mereka dan kita tidak menafikan akan sumbangan positif mereka dalam bidang bahasa dan lain-lain namun rata-rata peranan mereka tidak banyak berubah dari zaman dahulu. Antara peranan yang mereka lakukan ialah:

1. Melemahkan Bahasa Arab Fushah untuk digantikan dengan bahasa 'Amiyyah' atau 'Colloquial Language'. Dengan cara ini kesepaduan hubungan antara Arab sesama Arab dan bukan Arab akan semakin sulit. Dalam masa yang sama mereka juga akan melemahkan Bahasa Arab itu sendiri. Dalam tahun 1980 orang-orang Keturunan Barbar di Universiti Morocco menimbulkan tentang perlunya dibina versi Pengajian Bahasa Barbar di Universiti tersebut.

2. Menjalankan kajian mengenai "Firq" Islam atau kumpulan-kumpulan Islam. Dan kajian-kajian tersebut rata-rata tidak objektif dan sebenarnya memendam tujuan-tujuan tertentu iaitu antara lain melebarkan lagi lagi jurang ketidak persefahaman antara umat Islam .Umpama tulisan S.de Sacy (1758 - 1838 ) mengenai Druz dan agama mereka dan lain-lain.

3. Membuat periwayatan palsu secara bertahap. Terdapat orientalis yang meriwayatkan sesuatu berita palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah atau Al-Qur'an. Ia menyatakan bahawa teks yang ditemuinya ini belum ada dalil yang menguatkannya atau tidak diketahui tarikhnya . Kemudian datang pula Orientalis lain yang mengutip periwayatan itu tanpa menyebut tentang status keraguannya. Selepas itu datang pula Orientalis lain yang menyatakan bahawa ianya memang sah dan terbukti Shahih. Demikianlah hal ini dikutip seterusnya oleh penulis -penulis kebelakangan. Mereka terus merumus dan menyimpulkan sesuatu pengertian daripadanya.

4. Memejamkan mata terhadap fakta kebenaran. Adakalanya para ilmuan terkenal dan penulis ternama dalam konteks pengajian yang serius menulis kajian perbandingan mengenai bangsa dan agama sengaja memicingkan mata mengenai pandangan Islam dalam konteks tertentu.Mereka hanya menulis sekadar sekelumit dan itupun aspek yang tidak penting untuk menunjukkan betapa Islam sebagai agama yang tersisih dan tidak perlu disorot. Umpamanya S.K Northobs dalam kajiannya yang bertajuk 'Kajian Mencari Persefahaman Dunia' yang mengandungi 496 halaman hanya menyentuh mengenai Arab dan orang Islam sekitar 12 halaman sahaja. Walhal mereka merupakan kumpulan ketujuh  yang terbesar menjadi penghuni dunia ini. Begitu juga Betrand Rusell dalam bukunya Sejarah Falsafah Arab.

5. Mencari-cari riwayat dhaif dan mungkar. Adakalanya juga para Orientalis yang sengaja mengambil riwayat yang Dhaif yang memang ditolak oleh ulama' Islam. Riwayat Al Waqidi yang ditolak oleh Syafi?e dan Ibnu Khaldun di diterima sebagai benar walhal adalah sebaliknya. Ada Orientalis yang mengatakan bahwa  "Hukum Berubah Mengikut Perubahan Masa" sebagai hadis nabi walhal ia adalah imbasan daripada pendapat Imam Malik radhiALlahu anhu.

6. Menggunakan ukuran kebendaan (isme), inilah di antara kesilapan orientalis kerana mereka sering menggunakan ukuran kebendaan dalam mengukur nilai-nilai ruhaniah Islam. Walhal itu adalah suatu yang amat tidak sesuai.

7.Bersemangat mulhid dan meragui kebenaran Nabi. Segolongan orientalis adalah 'Free Thinker', Atheis dan menentang agama. Mereka menolak sama sekali saranan agama dan idealismenya ,sebab itulah mereka tidak teragak-agak mencemoh agama dan mendustakannya. Ini jelas apabila mereka menyerang Nabi Isa dengan mengatakan beliau gila .Begitu juga bila mereka merendah-rendahkan Nabi Muhammad Salallahualaihi wasalam. Mereka  bukannya  pengkaji yang objektif. Mereka memang sengaja mahu menghina dan memperkecilkan Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam. Voltire umpamanya mengarang drama bertajuk 'fanatik' dalam tahun 1718 untuk menyerang Nabi Muhammad. Beliau menghadiahkan kerjayanya itu kepada Pope Benwa Ke-14. Semangat seperti ini juga mempengaruhi penulis seperti Taha Husin dan lain-lain.

8. Melakukan serangan secara tidak langsung. Kadangkala Orientalis menulis mengenai Muhammad salallahualaihi wasalam dan misinya terbagi di bawah tajuk lain.Namun dalam membicarakan tajuk tertentu mereka sempat memesongkan pembaca secara halus. Agnatius Kratsykoysky, Orientalis Russia menulis dalam bukunya Sejarah Geografi Sastera Arab "Bahawa Al Quran ialah himpunan ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh Muhammad melalui pendengaran. Ia merupakan contoh umum dalam usaha orientalis ini.

9. Mengelirukan pembaca antara makna literal atau hakikat dengan metafora. Bahasa Arab memang mengandungi maksud hakikat dan majaz atau metafora. Ada yang bersifat baku dan ada pula Amiyyah .Orientalis dalam menghuraikan maksud nas Al Quran atau hadith sengaja memutar balikkan perkara ini.

10. Menyemarakkan kemarahan orang-orang bukan Islam. Kadangkala motivasi Orientalis dalam kerja-kerjanya ialah untuk menyemarakkan rasa marah, dendam dan benci orang-orang Kristian dan Yahudi supaya semakin galak menakluki dunia Islam. Daniel Pipes, seorang oreantalis yang banyak menulis dan mengkaji mengenai Islam serta diagung-agungkan oleh sesetengah ilmuan Islam adalah juga orang yang telah menulis satu dokumen mengenai "Muslim Fanatics and US Policy".

Di dalam dokumen ini, Daniel Pipes telah mencadangkan kepada kerajaan Amerika dan sekutunya di benua Arab agar mengambil empat strategi bagi menghadapi golongan fanatik Islam :

1) Mereka jangan sekali-kali memberi sebarang bentuk bantuan kepada golongan fanatik ini, tetapi terus mengadakan hubungan dengan mereka bagi memahami pemikiran serta menilai pengaruh mereka dari semasa ke semasa.

2) Mereka jangan sekali-kali membenarkan golongan ini terlibat dalam kerajaan terutamanya memegang jawatan-jawatan penting yang mana golongan ini akan menggunakan jawatan ini bagi melemahkan pengaruh serta kepentingan Amerika.

3) Di dalam menghadapi golongan fanatik ini, Amerika hendaklah hanya mengadakan hubungan dalam bentuk "Non- Public Contacts" dengan kerajaan negara-negara Arab yang di anggap "Friendly".

4) Amerika jangan sekali-kali membenarkan peminpin-pemimpin negara Arab yang "Friendly" ini untuk menentukan 'kaedah dalam mengatasi masalah mereka.

11. Untuk memenuhi tujuan politik dan missionari Kristian. Kadangkala kekeliruan disengajakan untuk memenuhi tuntutan Orentalisme politik dan missionary. Mereka memaparkan musuh Islam dengan imej yang mulia. Berperi kemanusiaan serta luhur. Sebaliknya orang-orang Islam dan tokoh-tokohnya tidak bersifat demikian. Ini dipaparkan kepada anak-anak orang Islam yang berguru kepada Orientalis tersebut. Jadi bila mereka pulang mereka membawa semangat yang membara untuk memerangi apa yang telah diajarkan oleh guru mereka sebagai kesesatan dan kelemahan Islam. Mereka laksanakan pesanan Oreintalis ini atas nama reformasi dan tajdid.

12. Merujuk Sumber-sumber Kristian. Adakalanya Orientalis menulis sejarah nabi dan tajuk-tajuk yang menyentuh Islam. Tetapi mereka  merujuk sumber-sumber Kristian dan bukan sumber turath yang dikaji oleh Ulama' Islam. Ini menyebabkan pembaca menjadi keliru dan salah faham.

Selain dari peranan di atas Orientalis juga berperanan menjadi mahaguru di pusat-pusat pengajian tinggi Barat yang menawarkan kursus-kursus pengajian ketimuran, Islam dan bahasa Arab. Menurut Al-Jabiri terdapat sekurang-kurang enam puluh 'department' di universiti-universiti barat yang diketuai oleh mahaguru-mahaguru Yahudi. Mereka juga menjadi 'think-tank' kepada politikus barat dalam melakarkan polisi ekonomi, politik dan budaya terhadap negara-negara Islam dan negara-negara Dunia Ketiga.

Peranan diatas sebenarnya didorong oleh motivasi-motivasi tertentu dan latar belakang budaya yang melatari kehidupan orientalis berkenaan. Motivasi kenapa mereka melakukan kerja-kerja tersebut perlu didedahkan untuk meningkatkan kewaspadaan umat terhadap tipudaya mereka.


MOTIVASI DAN SEBAB PENYIMPANGAN ORIENTALIS

1) Golongan Orientalis menyeleweng kerana pengaruh agama Kristian semasa kecil dan cerita-cerita karut yang dinyatakan oleh Paderi-paderi kerana hendak menonjolkan agama Kristian dan menjatuhkan Islam dan Rasulnya.

2) Ketiadaan keperihatinan atau kepekaan terhadap ajaran Islam yang sebenarnya. Ini kerana mereka rata-rata hidup di luar lingkungan Islam, hal mana menyebabkan mereka tidak mempunyai tanggapan yang betul terhadap Al Quran dan Hadis.

3) Tidak ada keikhlasan dan kemurnian niat dalam mengkaji aspek Ketimuran. Di samping itu mereka kurang mengkaji Metodologi dan displin ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Mustalah Al Hadis, ilmu Al Rijal, Ilmu Usul Al Fiqh, juga ilmu Mantiq, sehingga  menyebabkan mereka terpesong.

4) Adakalanya disebabkan oleh keinginan mereka mengambil masyarakat yang bukan Islam sebagai model dengan memburuk-burukan Islam di samping ingin melariskan jualan buku hasil tulisan mereka dalam masyarakat bukan Islam.

5) Usaha memburukkan Islam, mencaci rasulnya juga dilakukan atas dorongan untuk melemahkan pegangan umat Islam kepadanya kerana andaian bahawa Islam menjadi penghalang kemaraan Imprealisme budaya dan ketenteraan Eropah seperti yang diungkapakan oleh Gladstone, Lawrence Brown, Kalhan Simon dan lain-lain.

6) Mereka memburukkan Islam dengan menuduh Islam dikembangkan dengan mata pedang untuk mencemarkan kemurnian motif penyebaran Islam.Dengan demikian mereka menghalang kepesatan berkembangnya mesej dakwah Islam.

7) Mereka sengaja melakukan Provokasi kepada penulis -penulis Muslim agar mereka melatah dan menampilkan jawapan sebaliknya sehingga melupakan peranan murni Islam sebagai Aqidah yang dinamik sekaligus sebagi gerakan menyeluruh untuk membebaskan manusia dari kongkongan sistem atau rejim yang menyekat penyebaran Islam.

8) Dalam menulis sesuatu, mereka cuba menimbulkan kejijikan pembaca kepada budaya hidup orang Islam masa kini dan masa lampau. Umpamanya dalam penulisan sejarah dan perjalanan, mereka menggambarkan corak hidup umat Islam sebagai ketinggalan zaman, adat dan tradisi mereka begitu mundur. Acapkali pula mereka menggambarkan tokoh-tokoh Islam, Rasulullah salallahualaihi wasalam terutamanya secara dusta untuk memperkecil kehebatan dan kewibawaannya dan Islam itu sendiri.

9) Kadangkala Orientalis menulis untuk memecah-belahkan umat melalui penampilan aliran-aliran  pemikiran Barat yang bersimpang siur atau mereka menangani konsep-konsep Islam yang dahulunya dapat menyatupadukan umat Islam agar tidak lagi berfungsi.Mereka tahu bahawa umat yang berpecah belah dari segi pemikiran bukan sahaja tidak mungkin dapat bersatu padu dari sudut politik dan Ekonomi bahkan juga dari sudut ketenteraan. Inilah faktor yang memudahkan penjajah menguasai dunia Islam pada masa dahulu.


Menurut Ahmad Ghorab, seorang penulis yang mengkaji peranan Orientalis bagi menghancurkan Islam, 'Distortation' yang dilakukan oleh golongan Orientalis mempunyai dua objektif yang khusus;
A) Untuk menimbulkan kebencian terhadap Islam di dalam minda dan pemikiran golongan bukan Islam.
B) Untuk melemahkan umat Islam dengan menimbulkan keraguan mengenai aqidah ,tradisi kenabian serta sejarah Islam yang mengakibatkan umat Islam menolak kesyumulan Islam.

Umat Islam kini harus sedar akan peranan yang dimainkan oleh agensi -agensi berita antarabangsa dalam usaha "propaganda" mereka untuk  memesongkan ajaran Islam yang sebenar. Agensi-agensi berita anrabangsa yang terbesar seperti Asosiated Press (AP), Reuters dan United Press International (UPI) menggunakan teknik "disinformation" untuk menyalurkan berita kepada masyarakat umum. Agensi-agensi berita ini di samping mencerminkan kepentingan negara Zionis Israel, juga turut manjadi platform golongan orientalis bagi menyebarkan berita yang boleh meragukan serta menanam sifat kebencian kepada ajaran Islam kepada umum.

Golongan Orientalis ini juga turut memperkenalkan istilah-istilah yang menggerunkan pembaca terhadap Islam seperti "Islamic Terrorist" dan "Islamic Bomb", yang mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan  fundamentalisme Islam, Fanatik Islam dan Extremis Islam. Kategori yang diberikan ini meletakkan seolah-olah kelompok Islam ini sebagai golongan yang merbahaya kepada masa depan toleransi peradaban antara Barat dan Islam .

Pandangan ini lebih jelas ialah apabila kita meneliti 'teori  Pertembungan Tamadun'   yang dikemukakan oleh profesor dari Harvard, Samuel Huntington yang menggambarkan abad yang ke-21 akan menyaksikan peperangan di antara Islam dengan Barat i.e. Kristian. Islam diletakkan di 'kandang  orang salah' dan secara tidak langsung teori Huntington ini mahu meniupkan kembali semangat Salibiah yang berusaha untuk menghapuskan Islam dari muka bumi ini lebih 900 tahun yang lalu. Ia seolah-olah mahu menggerakkan kembali dunia barat (Kristian) agar bersiap untuk menghadapi ancaman Islam yang dipelopori oleh kelompok  'Fundamantalis dan Ekstrimis' ini.

Yang nyata teori Hungtinton ini mempunyai kaitan rapat dengan polisi luar kerajaan Amerika syarikat bagi mengekalkan hegemoni politiknya sebagai kuasa utama dunia. Polisi 'The New American Order' dengan agenda 'penjajahan ekonomi' sebagai teras terpenting terutamanya di negara umat Islam akan berterusan."Puppet Leadership" yang diwujudkan di kebanyakan negara umat Islam yang kaya dan berkedudukan strategik jelas membuktikan polisi ini adalah untuk kepentingan ekonomi dan politik Amerika Syarikat serta sekutu terapatnya Israel.

Tidak diragukan lagi bahawa kesan penjajahan mental dan budaya lebih sukar untuk dirawat, berbanding penjajahn meliter. Kesan dari kerja-kerja orientalis dan Kristianisasi memang terlalu banyak. Antaranya ialah menambahkan keadaan jenayah dan salah laku sosial. Akibat dari dasar Liberalisme, pengenyahan Syariat Islam, dasar langit terbuka, faham materialism yang bercambah mengakar dengan teguhnya dalam tiap lapangan hidup, penyakit masyarakat semakin merebak dan menular. Kes bunuh, rogol, curi, rompak dan buang anak kian meningkat. Amalan bohsia, lepak dan berbagai macam bentuk salah laku belum berjaya ditangani oleh kebijaksanaan pentadbiran pihak yang bertanggungjawab. Gejala-gejala tersebut bagaikan sumpah laknat Ilahi kepada golongan yang ingkar terhadap suruhanNya iaitu golongan yang sering patuh menurut telunjuk dan saranan Nasrani dan Yahudi.

Kesan gerakan Orientalis, Zionis, Kristianisasi berlaku dalam berbagai badan dan organisasi, di dalam dan luar negeri. Di peringkat antara bangsa - umpamanya - ada agensi-agensi sosial di bawah pertubuhan tertentu yang menyarankan perubahan menyeluruh termasuk dalam nilai-nilai dan konsep kekeluargaan, akhlak, sosial dan lain-lain kepada kerajaan, badan-badan berkanun dan NGO di negara-negara Islam.


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGHADAPI PERANCANGAN OREANTALIS

Umat Islam bukan perlu sekadar mengetahui ancaman ini tetapi juga perlu menyebarkannya di kalangan umat Islam akan bahaya dan ancaman yang dimainkan oleh golongan orientalis. Langkah kedua adalah perlunya di kalangan Ulama dan cerdik-pandai Islam berbincang dan menyusun strategi bagi menyebarkan penyelewengan orieantalis ini serta  berusaha untuk meningkatkan penyebaran Islam terutama di dalam perspektif sejarah Islam dan tamadunnya. Institusi-institusi penyelidikan yang khusus menyelidik gerak-geri dan taktik golongan Orieantalis juga harus diwujudkan segera bagi menghalang penyebaran sebarang maklumat mengenai Islam di kalangan golongan orieantalis.

Langkah ketiga pula ialah, bagi umat Islam membongkar konspirasi golongan oreantalis ini yang berselindung di bawah 'Islamic Research Centre' yang juga memperalatkan golongan cendikiawan Islam samada secara sedar atau sebaliknya. Pusat-pusat penyelidikan ini mempunyai pembiayaan kewangan yang banyak dari sumber-sumber yang memusuhi Islam dan mereka menggunakan cendikiawan Islam sebagai 'Fellow' atau rakan penyelidik mereka untuk megkaji Islam dengan lebih mendalam.

Akhirnya sama-samalah kita merenung Firman Allah Taala ini ;

"Ramai dari kalangan Ahlli Kitab yang mahu menjadikan kamu kufur selepas kamu beriman, kerana perasaan dengki mereka terhadap kamu dan selepas kebenaran itu telah diperjelaskan kepada mereka."
( Baqarah : 109, al Quran)

"Dan golongan Yahudi serta ahli kitab tidak akan merasa senang selama-lamanya dengan kamu selagi kamu tidak mengikut agama mereka. Katakanlah pertunjuk itu dari Allah dan dariNyalah pertunjuk yang benar. dan jika kamu mengikut kehendak mereka ini selepas diberikan pertunjuk dari kamu, ingatlah sesungguhnya Allah tidak akan menjadi penolong kamu serta pelindung." ( Baqarah : 120, al Quran).

- MANHAL PMRAM - Qutuz'slegacy

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger