Seorang Nabi dan Rasul akhir zaman telah diutuskan Allah Ta’ala untuk menyempurnakan agama yang mulia ke seluruh pelusuk alam. Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah (Al-Maaidah,3) bermaksud: “ Pada hari ini, aku telah sempurnakan bagimu agamamu, dan telah aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah aku redhai agama Islam sebagai agamamu”.
Kedatangannya telah disebutkan di dalam tiga buah kitab Samawi sebelum kitab Al-Quran. Kedudukannya disisi Allah amatlah tinggi dan mulia. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada tanggal 9/12 Rabiul awal, Hari Isnin bersamaan tahun 20/22 April 571 Masihi, tahun Gajah di Makkatul Mukarramah, 4 tahun pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan (Raja Parsi).
Peristiwa ajaib yang berlaku keatas Nabi s.a.w disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi sahaja. Irhas dikategorikan kepada tiga:
- Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
- Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
- Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi dan Rasul.